
KEPUTUSAN UNDIAN CHALLENGE CUP 2019
Pasukan Terengganu FC II pada tahun ini telah diundi dalam Kumpulan B bersama 3 lagi pasukan iaitu SELANGOR UNITED, KUALA LUMPUR FA dan finalis pada tahun lepas, UKM FC dalam majlis pengundian saingan Challenge Cup 2019 sebentar tadi. Manakala satu lagi kumpulan iaitu Kumpulan A menempatkan Johor Darul Takzim II, Kelantan FA dan Sarawak FA. Saingan pada musim ini dijangka lebih sengit dengan pasukan-pasukan yang bertanding ingin merebut kejuaraan ini yang telah dimenangi oleh pasukan Terengganu FC II pada musim lepas.
Ketua jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman Raja Hassan semestinya memasang cita-cita untuk mencatatkan rekod untuk menjuarainya buat kali kedua berturut-turut setelah memenanginya musim lepas sekaligus telah mencatatkan sejarah sebagai pasukan pertama yang menjuarai saingan Challenge Cup ini. Pada tahun lepas, pasukan Terengganu FC II berjaya menjadi juara setelah menundukkan pasukan UKM FC dengan jaringan agregat 4-2. Pada ketika itu kesebelasan anak buah Tengku Hazman ternyata tidak mensesiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan melakar sejarah merangkul ‘piala baharu’ serta membawa pulang wang tunai RM250,000.
Semestinya ianya tugas sukar untuk sebuah pasukan juara untuk mengekalkan kejuaraan namun segalanya tidak mustahil buat pasukan Terengganu FC II.
Terengganu FC II berada di Kumpulan B Bersama UKM FC, Selangor United dan Kuala Lumpur FA – Gambar Media MFL