
SYAMIM TEKAD AMBIL PELUANG YANG DIBERIKAN UNTUK PERTINGKATKAN PERMAINAN
Pemain sayap Terengganu FC, Ahmad Syamim Bin Yahya percaya beliau mampu membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain yang telah menyenaraikan beliau dalam kesebelasan utama pasukan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Bagi beliau, peluang yang diberikan ini beliau akan gunakan untuk mengembalikan prestasi sebenar beliau khususnya mendapatkan kembali keyakinan dan kecergasan bagi setiap perlawanan. Syamim menyatakan sebagai pemain, beliau perlu untuk mengikut segala arahan dan taktikal yang diterapkan oleh jurulatih dan apa yang jurulatih inginkan daripadanya.
Ditanya berkenaan kritikan dari penyokong tentang prestasinya sebelum ini, baginya beliau tidak kisah dilontarkan pelbagai kritkan dan ianya hak buat penyokong untuk mengkritik dan beliau menganggap kritikan-kritikan ini sebagai motivasi untuk beliau terus berusaha lebih keras untuk mempamerkan prestasi sebenar beliau di padang dan tidak dinafikan sememangnya beliau sangat memerlukan motivasi dan sokongan yang positif juga yang selalunya diberikan oleh rakan-rakan sepasukan dan juga jurulatih yang sentiasa memberikan kata-kata semangat kepada beliau dan semua pemain lain.
Perlawanan menentang PKNS FC Jumaat ini bagi Syamim adalah perlawanan yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya khususnya untuk mendapatkan mata penuh untuk terus memperbaiki kedudukan pasukan Terengganu FC dalam saingan liga Super 2019 dan baginya itu adalah keutamaan pasukan sekarang ini.
Pasukan Terengganu FC bakal menghadapi baki perlawanan yang agak sukar iaitu pertembungan antara Kedah FA dan Pahang FA di Kuala Terengganu dan juga pasukan juara Liga Super 2019, Johor Darul Takzim di Larkin.