
PERSIAPAN SKUAD TERENGGANU FC MENJELANG PERTEMUAN SKUAD SEMUT MERAH JUMAAT INI
Terengganu FC akan bertandang ke Shah Alam bagi aksi perlawanan Liga Super 2019 menentang pasukan PKNS FC pada 5 Julai 2019 ini. Skuad kendalian Nafuzi Zain pada perlawanan lepas telah berjaya membenam pasukan Kuala Lumpur FA dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu.
Menurut Nafuzi, beliau sedar tentang ketajaman barisan hadapan skuad PKNS FC yang ketika ini dibarisi oleh pemain-pemain yang berkualiti seperti Kpah Sherman dan Gabriel Guerra, oleh itu semestinya tumpuan perlu diberikan untuk merencana pertahanan yang baik dalam mengekang asakan dan serangan lawan. Nasrullah Hanif yang bakal kembali bersama skuad pada Jumaat ini selepas pegantungan perlawanan sedikit melegakan dengan memberikan sedikit pilihan buat pasukan untuk mengisi bahagian pertahanan Terengganu FC.
Kecederaan pemain utama iaitu Ashari Samsudin, Shahrin Sapien dan juga Khairu Azrin juga sedikit merisaukan pasukan dalam mempersiapkan skuad ini sebelum berangkat ke Shah Alam. Namun begitu Nafuzi tetap positif dan percaya kepada setiap pemain yang ada kerana semangat mereka mampu untuk mengejutkan pasukan tuan rumah dengan setidak-tidaknya berjaya mencuri mata ditempat lawan. Kehadiran penyokong yang merupakan pemain ke-12 pasukan Terengganu juga dilihat mampu memberikan semangat buat pasukan ini dalam pertembungan dengan skuad semut merah itu Jumaat ini.