SP BUMI BERCADANG UNTUK MENAMBAH PENAJAAN BUAT TFC BAGI MUSIM 2019

Syarikat Pengangkutan Bumi Pantai Timur Sdn Bhd atau lebih senang dikenali sebagai SP BUMI kini bercadang untuk menambah tajaan buat pasukan Terengganu Football Club (TFC) untuk musim 2019. Tajaan ini termasuklah menambah sebuah lagi bas rasmi untuk kegunaan TFC yang mungkin akan digunakan untuk kemudahan pengangkutan pasukan TFC II, III dan IV.

Cadangan ini disambut baik oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan juga TFC dan perbincangan terakhir berkenaan penajaan ini akan diadakan tidak lama lagi dimana kedua-dua pihak positif dengan kerjasama yang telah dijalinkan sejak 2016 ini.

Pihak SP Bumi mengakui pengguna bagi perkhidmatan pengangkutan SP Bumi dilihat terus meningkat selepas menjadi salah sebuah syarikat penaja TFC. Penambahan penajaan oleh syarikat SP BUMI ini juga adalah inisiatif dari syarikat ini dalam usaha untuk membantu meringankan perbelanjaan pasukan dan juga kerajaan negeri Terengganu.

Pihak pengurusan PBSNT dan juga TFC mengakui peningkatan bilangan syarikat penaja yang berminat untuk menjadi salah sebuah syarikat penyumbang buat TFC pada musim hadapan namun semestinya  pihak pengurusan telah mengkaji segala tawaran dari setiap syarikat penaja agar ianya sesuai dengan sukan bola sepak dan setimpal dengan segala aset penajaan yang akan diperoleh oleh syarikat penaja. 

Setakat Disember ini TFC telah berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 11 syarikat penaja yang akan menaja pasukan ini dalam pelbagai bentuk tajaan termasuk kewangan, perkhidmatan dan juga barangan bagi musim hadapan. Kesemua penaja ini akan diumumkan bersama-sama semasa majlis perasmian pasukan TFC 2019 yang dijangka akan diadakan pada pertengahan Januari 2019.

Logo rasmi syarikat SP BUMI

Leave a Reply