KESEMUA PEMAIN TERENGGANU FC SUDAH BERSEDIA

“Ini adalah perlawanan pertama saya dalam saingan Piala Malaysia bertemu dengan bekas pasukan saya, saya rasa kami dilahirkan untuk bertemu antara satu sama lain” itulah ungkapan awal Haji Irfan Bakti apabila diajukan soalan oleh wartawan berkenaan perasaannya apabila pasukan yang dikendalikannya, Terengganu FC akan bertemu dengan majikan lamanya iaitu Felda United FC esok. Irfan mengatakan dia hanya merasa seperti biasa seperti menghadapi perlawanan lain kerana sekarang beliau menguruskan Terengganu FC dan sudah tentu tumpuan penuh terhadap pasukan ini yang beliau akan tumpukan.

Haji Irfan mengatakan 2 kekalahan diperingkat kumpulan tidak mengganggu tumpuan pasukan kerana mereka tetap mengakhiri saingan di peringkat kumpulan di kedudukan teratas. Beliau menambah di saingan Piala Malaysia ini agak pelik apabila Terengganu FC berjaya memenangi 3 perlawanan tempat lawan dan itu merupakan kebangkitan yang baik untuk anak-anak buahnya memandangkan keputusan ditempat lawan bagi saingan liga agak kurang memuaskan. Beliau juga mengingatkan semua bahawa saingan di Piala Malaysia selalu berlaku keputusan diluar jangkaan. Ini dilihat kerana semua pasukan akan berusaha sehabis-habisnya untuk mendapatkan gelaran juara.

Haji Irfan menyatakan beliau amat menghormati pasukan Felda United sebagai juara Liga Perdana kerana mereka memiliki deretan pemain yang berpengalaman terutama Thiago yang akan menjadi penggempur utama di bahagian serangan mereka. Dilihat juga segala kekurangan perlu ditangani segera untuk memenangi perlawanan pada malam esok dan berita positif bagi skuad ini adalah kesemua pemain utama Terengganu FC cergas untuk diturunkan.

Diberitakan banyak rombongan penyokong dari Terengganu dan juga dari Ibu Kota akan ke Jengka bagi perlawanan pada malam esok dan ini dijangka akan menambah tonik dan semangat buat  pasukan Terengganu FC.

 

Leave a Reply