“Kita perlu tampil lebih agresif” Haji Irfan Bakti

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Haji Irfan Bakti yakin bahawa anak buahnya mampu untuk mendapatkan 3 mata pada perlawanan menentang Selangor FA pada Sabtu ini apabila beraksi dihadapan ribuan penyokong sendiri. Kata Irfan lagi, apabila beraksi ditempat sendiri, pemain-pemain harus tampil lebih agresif kerana bagi perlawanan menentang Kelantan FA tempoh hari beliau mendapati pemain-pemainnya bermain baik namun masih kurang agresif terutamanya di bahagian serangan.

Haji Irfan Bakti juga memohon pemain-pemain tidak melakukan kesalahan individu yang boleh merugikan pasukan namun begitu beliau tetap percaya bahawa pemain-pemainnya mampu untuk meningkatkan permainan kearah yang lebih baik bagi perlawanan seterusnya yang dijangka akan dihadiri ribuan penyokong Terengganu dan Selangor sendiri.

Memetik kata-kata terakhir Irfan bagi perlawanan menentang The Red Giant, Irfan menyatakan pasukannya akan tampil dengan corak “Clean game but aggressive” dengan kata lain pasukannya akan bermain dengan berhati-hati namun tetap agresif untuk memburu gol dan kemenangan.

Pasukan Terengganu FC akan menentang pasukan Selangor FA pada Sabtu ini bertempat di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu dan dijangka perlawanan ini akan lebih hangat apabila Terengganu dengan misi mencari kemenangan pertama bagi musim 2018 dan Selangor pula ingin mengekalkan rekod kemenangan berturut-turut mereka.