
TERENGGANU FC BAKAL TAMPIL DENGAN KARAKTER BERBEZA
Terengganu Football Club hari ini secara rasminya mengumumkan Badrul Afzan Bin Razali sebagai Ketua Jurulatih pasukan Terengganu FC bagi musim 2025/2026. Badrul Afzan menandatangani kontrak sebagai peneraju pasukan bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Mei 2026. Keputusan untuk melantik Badrul Afzan ini telah pun dimuktamadkan oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dengan mengambil kira pelbagai aspek penting untuk memastikan kelab ini mampu bergerak lebih positif bagi menghadapi musim baru saingan Liga Malaysia.
Badrul Afzan telah dipertanggungjawabkan untuk mempersiapkan pasukan Terengganu FC secara keseluruhan termasuklah dari sudut pemilihan barisan kejurulatihan serta para pemain. Badrul dalam temubual bersama pihak kelab menyatakan beliau mengucapkan rasa syukur kerana diberi peluang dan kepercayaan untuk mengendalikan pasukan utama Terengganu ini seterusnya ingin berterima kasih buat Pengerusi serta seluruh Ahli Lembaga Pengarah TFCSB. Beliau sedar tanggungjawab yang diberikan ini besar namun beliau cukup optimis dapat membawa pasukan ini dengan lebih baik dalam saingan musim baru dengan pemain-pemain serta taktikal dan corak permainan yang beliau ingin terapkan.
Badrul Afzan juga ingin berterima kasih buat kesemua ahli Jawatankuasa Teknikal yang banyak membantu beliau dalam proses pemilihan pemain dalam usahanya membentuk pasukan Terengganu FC bagi musim 2025/2026. Tanpa berselindung, Badrul Afzan menyatakan beliau ingin memastikan pencapaian pasukan ini lebih baik berbanding musim lepas dalam mengejar kejuaraan saingan Liga Malaysia seterusnya akan berusaha untuk memburu slot ke kejohanan ASEAN dan Asia pada musim hadapan.
Pasukan Terengganu FC dijangka akan memulakan latihan rasmi pada 1 Julai 2025 dan dijangka pada hari pertama latihan, kesemua pemain termasuk pemain import akan turun menjalani latihan. Badrul Afzan telah pun berjaya mendapatkan beberapa pemain baru bagi memperkuatkan pasukan Terengganu FC. Pengurusan kelab mengucapkan selamat berjuang buat Badrul Afzan, semoga tahun ini beliau dapat membawa Terengganu FC lebih cemerlang serta dapat membawa pulang kejuaraan ke negeri Darul Iman.