WELCOME HOME MANNY
Pemain yang tidak asing lagi di kalangan penyokong kelab ini, Manuel Ott secara rasmi kembali bersama pasukan Terengganu FC selepas menandatangani kontrak selama satu musim bagi mengisi posisi import kuota Asean. Manuel Ott akan kembali menyarung jersi bernombor 8 bersama pasukan Terengganu FC.
Manuel Ott menyatakan dalam temubual bersama kelab, beliau merasakan sangat teruja dapat kembali ke kelab ini kerana beliau mempunyai perhubungan yang sangat baik bersama penngurusan kelab, para pemain termasuk penyokong pasukan ini. Sebelum meninggalkan Terengganu sebelum ini untuk mencuba cabaran baru, beliau juga pernah menyatakan kepada pengurusan yang beliau ingin kembali lagi bersama kelab ini jika diberi peluang kerana beliau menikmati saat terbaik dalam karier bolasepaknya di Terengganu. Apabila tahun ini mendapat tawaran kembali dari kelab ini, semestinya ianya berita yang sangat menggembirakannya.
Manuel Ott juga menyatakan beliau sudah tidak sabar untuk kembali menjalani latihan bersama pasukan. Beliau juga sudah mengenali Tomislav Steinbruckner sebelum ini dan beliau tidak ingin menunggu lama untuk membalas kepercayaan yang diberikan Ketua Jurulatih Terengganu FC ini. Dengan melihatkan pelan pasukan serta barisan pemain pada musim ini, Ott menjangkakan pasukan ini bakal bersaing hebat untuk mengejar kejuaraan.
Manuel Ott juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada penyokong Terengganu FC yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya sebelum ini walaupun beliau telah berhijrah ke pasukan lain. Katanya lagi, beliau sudah tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan mereka. “Bayangkan beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong diatas padang yang sangat menakjubkan itu. Semestinya saya sudah tidak sabar untuk memulakannya sekali lagi.” Tambah Manuel Ott sebelum mengakhiri temubual.
Selamat kembali Manny!
#Together We Bleed Black And White!