SIDANG MEDIA PERTAMA KETUA JURULATIH TERENGGANU FC 2023, TOMISLAV STEINBRUCKNER

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) hari ini dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baru bagi pasukan Terengganu FC iaitu Tomislav Steinbrückner. Beliau akan memegang tanggungjawab utama untuk membentuk pasukan Terengganu FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023 dan juga saingan Piala AFC 2023.

Pengendali baru Terengganu FC yang berusia 56 tahun ini berasal dari negara Crotia dan sebelum ini telahpun bersama pasukan Terengganu FC dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Teknikal kelab bermula pada tahun 2022. Tomislav telah menandatangani kontrak sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC untuk tempoh 1 tahun iaitu bermula 1 Disember 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Beliau yang memegang lesen UEFA Pro dan pernah mengendalikan salah sebuah pasukan di Liga Malaysia sebelum ini dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh pengendali pasukan Terengganu FC sebelum ini. Ini kerana beliau telah menganalisa pasukan sedia ada serta sama-sama mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2022. Semestinya cabaran untuk mengendalikan pasukan Terengganu FC adalah besar kerana pasukan ini mengakhiri saingan Liga Malaysia dengan rekod yang baik dan semestinya pihak pengurusan kelab serta para penyokong ingin melihatkan rekod yang lebih cemerlang dapat dicapai bagi saingan musim 2023. Namun beliau mengambil tanggungjawab ini dan bersedia untuk memberikan khidmat terbaik untuk kelab ini.

Untuk rekod, beliau pernah menguruskan pasukan di saingan liga Crotia iaitu NK Novigrad, NK Orsijek dan Bijelo Brdo. Beliau juga pernah melatih pasukan T-Team FC yang juga salah sebuah pasukan dari Terengganu pada tahun 2015 dan berjaya menonjolkan serta menghasilkan beberapa pemain berkualiti seperti Safawi Rasid, Arif Fadzilah dan juga Norhakim Hassan.

Leave a Reply