NAFUZI ZAIN TIDAK AKAN BERHENTI MEMBERIKAN MOTIVASI BUAT PEMAIN TFC

Disebalik corak permainan yang hampir 80% berubah dibawah kendalian pengendali TFC, Nafuzi Zain, semangat dari pemain juga turut dilihat meningkat dari setiap perlawanan dan ini antara aspek penting yang membantu pasukan TFC memulakan kempen Piala Malaysia 2019 dengan langkah kanan apabila berjaya menumpaskan PKNS FC dan juga juara Piala FA tahun ini, Kedah FA. Apa yang lebih mengejutkan, pasukan Kedah FA tewas kepada TFC yang pada ketika itu beraksi dengan 10 pemain sahaja dan ini membuktikan motivasi dan semangat juang para pemain TFC pada ketika ini berada di tahap yang terbaik.

Nafuzi Zain tidak berselindung menyatakan beliau sangat yakin dengan kualiti yang ada pada pemain-pemain yang berada tidak kira di pasukan utama TFC ataupun di TFC II dan juga skuad TFC III dan TFC IV. Apa yang dilakukan pengendali TFC ini juga boleh dilihat mampu menaikkan motivasi pemain-pemain muda yang inginkan lebih pendedahan diperingkat senior dan jika dilihat beberapa pemain muda Terengganu telahpun disenarai dan dibawa bersama menjalani latihan bersama skuad utama TFC. Salah seorang yang terus mendapat perhatian adalah Rahmat Makasuf yang sebelum ini bermain untuk pasukan TFC II dan  kini telah tampil dalam kesebelasan utama TFC dalam 2 perlawanan Piala Malaysia dan berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang bersama pemain-pemain yang lain.

Jika disebut filosofi atau corak permainan moden yang diterapkan oleh Nafuzi semestinya penyokong gembira melihat corak permainan hantaran pendek yang dipamerkan pemain dan sebenarnya ianya adalah tugas yang sukar untuk menukar corak permainan dalam masa yang singkat namun dengan kualiti pemikiran dari pengendali dan pemain itu sendiri, ianya tampak semakin menjadi dan dapat diterjemahkan dalam setiap perlawanan. Perubahan corak permainan ini juga telah mengembalikan sentuhan buat beberapa pemain utama TFC seperti Sanjar Shaakhmedov, Syamim Yahya dan juga Sharin Sapien yang dilihat lebih yakin dan sesuai dengan gaya permainan yang diterapkan ini.

Nafuzi turut menyatakan beliau gembira melihat semangat dari pemain-pemainnya untuk kembali mengangkat pasukan ini ke prestasi yang lebih baik. Beliau selalu menyatakan agar pemain-pemainnya yakin dengan kualiti yang ada pada diri masing-masing, disamping jaga disiplin sebagai pemain tidak kira didalam atau diluar padang dan semestinya apabila tiba hari perlawanan, pemain perlu memberikan fokus sepenuhnya agar kita turun dengan semangat untuk mendapatkan kemenangan walaupun beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan kerana aksi kita dipadang yang akan menentukan keputusan kemenangan adakah kita berjaya atau kejayaan kita itu akan tertangguh.

Menjadi salah seorang pemain yang telah membawa Terengganu menjadi juara dalam saingan Piala Malaysia pada tahun 2001, semestinya bagi Nafuzi beliau bercita-cita untuk melakukannya sekali lagi tetapi kali ini sebagai jurulatih kepada pasukan kesayangannya ini.

Leave a Reply