
KESEMUA PEMAIN BARU TERENGGANU FC AKAN DIUMUMKAN DALAM MASA TERDEKAT
Terengganu FC akan membawa masuk 2 orang pemain tempatan serta 5 orang pemain import bagi jendela perpindahan pertama 09 Jun hingga 31 Ogos 2025 untuk memperkuatkan pasukan bagi saingan musim baru. Sebelum ini, kelab ini telah memperbaharui kontrak pemain import tengah dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.
Persiapan akhir perpindahan beberapa pemain import yang akan mengisi kekosongan di bahagian pertahanan, tengah dan juga serangan telah mencapai persetujuan kedua-dua pihak, proses melengkapkan dokumen serta urusan logisitk ke Malaysia sedang dilakukan seterusnya melakukan ujian kecergasan dan perubatan sebelum memeterai perjanjian kontrak professional.
Pengendali pasukan, Badrul Afzan Razali menyatakan, beliau dan barisan kejurulatihan telah pun menyenaraikan beberapa pemain yang dilihat mampu memberi impak kepada pasukan Terengganu FC dan ianya telah di bawa ke dalam rundingan Jawatankuasa Teknikal Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dan telah pun diluluskan untuk penawaran dan negosiasi.
Dalam masa yang sama, Terengganu FC juga telah mengesahkan untuk kekal mendapatkan khidmat Azam Azmi Murad sebagai pemain pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim bagi saingan musim baru ini. Berkenaan berita perpindahan Akhyar Rashid ke kelab DPMM FC dari Brunei juga tidak ada permohonan secara rasmi dan pemain utama Terengganu FC dan masih di dalam perancangan Ketua Jurulatih. Kontrak beliau masih berbaki sehingga 2027.
Antara pemain musim lepas yang tidak lagi bersama Terengganu FC adalah Muhammd Safawi Rasid, Mohd Nor Hakim Hassan, Ismaheel Akinade, Manuel Ott, Ivan Mamut, Nelson Bonilla, Muhammad Syafik Ismail, Muhammad Syaiful Haqim Shahrul dan Argzim Redzovic.
Kelab akan mula mengumumkan secara rasmi kesemua pemain yang bakal masuk sebelum 5hb Julai 2025 setelah semua urusan disempurnakan.