KYAW MIN OO SERTAI PASUKAN TERENGGANU FC
Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB) dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain antarabangsa Myanmar, Kyaw Min Oo, yang akan menyertai pasukan Terengganu FC untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
Kyaw Min Oo, 29 tahun, merupakan pemain tengah bertahan yang juga mampu beraksi sebagai pertahanan tengah. Beliau sebelum ini merupakan kapten kepada kelab PDRM FC di Liga Super Malaysia dan turut menjadi tonggak utama skuad kebangsaan Myanmar.
Lahir pada 16 Jun 1996 di Oktwin, Myanmar, pemain setinggi 1.78m ini terkenal dengan ketenangan, disiplin taktikal dan kepimpinannya di atas padang. Sepanjang kariernya, beliau sering diberi kepercayaan memimpin pasukan hasil pengalaman luasnya di peringkat kelab dan antarabangsa.
Kehadiran Kyaw Min Oo adalah satu suntikan penting buat pasukan Terengganu FC, bukan sahaja dari segi kualiti permainan tetapi juga kepimpinan beliau. Pasukan Terengganu FC yakin pengalaman beliau bersama skuad kebangsaan Myanmar dan PDRM akan membantu memperkukuhkan jentera tengah serta benteng pertahanan pasukan.
Dalam masa sama, Kyaw Min Oo turut melahirkan rasa teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama pasukan Terengganu FC dan membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini.
Dengan pengenalan rasmi ini, Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada Kyaw Min Oo ke dalam keluarga besar pasukan Terengganu FC.