
Ulasan Perlawanan Terengganu FC Melawan PDRM FC
Terengganu FC terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang PDRM FC dalam aksi kedua Liga Super Malaysia 2025/2026 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Aksi sepak mula menyaksikan kedua-dua pasukan cuba mencari rentak permainan selepas pasukan PDRM FC membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi penyerang import, Henry Cefric, yang memanfaatkan peluang di hadapan gawang. Terengganu FC berusaha memburu gol penyamaan namun beberapa percubaan mereka dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol pelawat, Mohd Ifwat. Kedudukan kekal 1-0 memihak PDRM FC sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad PDRM FC sekali lagi menambah jaringan pada minit ke-53, juga hasil sentuhan Henry Cefric yang menyudahkan serangan balas pantas. Tidak berputus asa, Terengganu FC merapatkan jurang pada minit ke-62 apabila hantaran lintang Yan Mabella disempurnakan oleh Azam Azmi untuk gol pertama tuan rumah.
Ketua jurulatih TFC kemudian melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Baqiuddin, Khalaif dan Saiful, menggantikan Gabriel Silva, Akhyar Rashid dan Sharul Nizam. Pertukaran ini membuahkan hasil apabila Terengganu terus menggandakan asakan ke kubu lawan. Usaha mereka akhirnya berhasil pada minit ke-89 selepas Yan Mabella berjaya menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus mengikat kedudukan 2-2 bagi aksi Liga Super Malaysia 2025/2026.