
MOTIF JERSI TERENGGANU FC MUSIM BARU
Terengganu FC secara rasmi memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2025/2026 yang akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia. Dengan menggunakan jenama ALX keluaran Al-Ikhsan Sports, rekaan kali ini mengetengahkan identiti dan warisan negeri dengan sentuhan moden yang lebih segar.
Jersi Home kembali dengan corak belang hitam putih ikonik yang menjadi simbol kebanggaan penyokong setia. Lebih istimewa, corak fabriknya menampilkan motif sepeleh iaitu rekaan menyerupai konsep struktur pada bangunan atau rumah tradisional Terengganu sebagai penghormatan kepada seni bina warisan tempatan.
Bagi jersi ke-2, Terengganu FC memilih warna ungu gelap dengan corak unik berinspirasikan corak nebula, menampakkan konsep moden serta kelainan berbanding jersi pertama pasukan ini.
Jersi ini dijual pada harga RM149 (Player Issue) dan para penyokong boleh membuat pra-tempahan eksklusif di website TFC Direct mulai sekarang. Jualan secara fizikal dijangka bakal bermula pada akhir Ogos 2025 di TFC Direct, stor Al-Ikhsan seluruh negeri Terengganu, serta ejen jualan rasmi Terengganu FC seperti Berg dan Black White Box.
Dengan gabungan elemen tradisi dan inovasi ini, koleksi jersi baharu Terengganu FC bukan sekadar pakaian di atas padang, tetapi lambang identiti, kebanggaan, dan aspirasi seluruh penyokong Terengganu.