AKHYAR TAMATKAN TEKA TEKI DESTINASI MUSIM 2024/2025

Teka-teki yang menyatakan Akhyar Rashid bakal bersama ataupun tidak dengan pasukan Terengganu FC kini sudahpun terjawab selepas pemain ini bersetuju untuk menandantangani kontrak bersama Terengganu FC untuk tempoh 1 musim sebagai pemain pinjaman dari pasukan Johor Darul Ta’zim.

Muhammad Akhyar bin Abdul Rashid yang kini baru berusia 25 tahun dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import Terengganu FC musim lepas iaitu Sony Norde. Pemain yang mempunyai kelajuan dan teknik kawalan bola yang cukup baik ini berjaya menarik minat pengendali pasukan iaitu Tomislav Steinbruckner untuk meletakkannya dalam senarai pemain yang dimahukannya dalam skuad musim 2024/2025.

Akhyar bakal menyarung jersi bernombor 33 dan pemain yang berasal Alor Star ini adalah merupakan salah seorang pemain skuad kebangsaan yang telah mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan dalam kempen saingan Piala Asia baru-baru ini. Untuk rekod bersama skuad negara, beliau pernah bersama Malaysia bawah-17, Malaysia bawah-19, Malaysia bawah-23 dan kini bersama skuad senior Harimau Malaya dibawah kendalian Kim Pan Gon.

Akhyar Rashid menyatakan beliau melihatkan Terengganu FC adalah pasukan yang sentiasa konsisten dalam menempatkan diri sebagai salah sebuah pasukan gergasi di Liga Malaysia. Beliau melihatkan pasukan ini berjaya menjadi pencabar kejuaraan yang sangat kuat pada musim lepas dibawah kendalian Tomislav Steinbcruckner. Apabila mendapat tahu Tomislav berminat untuk menandatanganinya dan Terengganu FC begitu serius untuk mendapatkan khidmatnya, beliau tidak berselindung menyatakan yang beliau merasa sangat teruja. Akhyar turut menyedari persaingan dalam pasukan ini dalam merebut tempat juga sengit, namun baginya beliau sudah terbiasa dengan perkara tersebut kerana persaingan untuk mendapatkan tempat di pasukan lamanya iaitu Johor Darul Ta’zim sudah terbukti cukup sengit dan hebat. Apa yang penting baginya, beliau akan cuba memberikan yang terbaik dalam latihan dan juga perlawanan untuk menunjukkan kualiti yang ada pada dirinya selain misinya untuk membantu Terengganu FC memburu kejuaraan musim ini.

Pihak pengurusan Terengganu FC ingin mengucapkan selamat datang buat Akhyar dan semoga beliau menjadi salah seorang pemain yangg berjaya membawa kejuaraan buat pasukan ini.

Selamat berjuang Akhyar Rashid!