AKRAM MAHINAN SERTAI PASUKAN TERENGGANU FC

Akram Mahinan kini secara rasminya diumumkan sebagai pemain Terengganu FC bagi musim 2024/2025. Pemain yang beraksi di posisi tengah ini telahpun menandatangani kontrak untuk bersama pasukan ini bagi tempoh selama 1 musim.

Pemain yang berasal dari Kedah ini juga merupakan bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi dengan 4 pasukan di Liga Malaysia iaitu Kedah Darul Aman FC, PKNS, Johor Darul ta’zim, dan Kuala Lumpur City FC. Sepanjang bersama dengan pasukan terakhirnya iaitu Kuala Lumpur City FC, Akram telah menjadi antara pemain utama yang berjaya membantu pasukan tersebut kembali menyertai saingan Liga Super pada tahun 2020, seterusnya berjaya membawa pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia 2021. Beliau juga menjadi pemain utama yang membawa pasukan tersebut mara ke pusingan akhir saingan Piala AFC 2022, serta menjadi naib juara Piala FA 2023. Akram juga merupakan antara pemain yang memiliki kekuatan fizikal yang cukup baik, serta antara pemain yang terkenal dengan aksi agresif dalam bertahan yang dilihat dapat membantu memperkemaskan dan memberi impak pada bahagian tengah pasukan ini.

Akram memutuskan untuk berhijrah ke pasukan ini atas beberapa faktor selepas beliau memperlihatkan corak permainan di bawah kejurulatihan Tomislav Steinbruckner menarik minat beliau dan bersesuaian dengan cara beliau bermain sekaligus ianya memberikan keyakinan buat dirinya untuk hadir memperkuatkan jentera tengah pasukan Terengganu FC.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau sudah tidak sabar untuk beraksi bersama pasukan ini serta memberi harapan untuk membantu pasukan ini mendapatkan kejayaan pada musim 2024/2025. Pengurusan kelab Terengganu FC mengucapkan selamat datang kepada pemain Akram Mahinan, dan diharapkan dengan kehadirannya bakal memberikan impak luar biasa untuk kelab ini.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

#TerengganuFc
#Webleedblackandwhite