
SONY NORDE BERSAMA PASUKAN TERENGGANU FC 2023
Sukacita dimaklumkan Sony Norde telah selesai menandatangani kontrak bersama kelab Terengganu FC sebagai pemain untuk musim 2023. Pemain import berusia 33 tahun ini adalah antara pemain utama yang ingin ditandangani oleh pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagi memperkuatkan pasukan utama kelab ini bagi saingan musim hadapan yang dilihat lebih mencabar dan memerlukan pemain import yang berkualiti. Pemain kebangsaan Haiti ini telah menandatangani kontrak bersama pasukan ini untuk tempoh 1 tahun sehingga akhir musim 2023.
Sony Norde adalah salah seorang pemain yang sudah mengenali kondisi dan persaingan di Liga Malaysia kerana sebelum ini juga beliau telah beraksi dengan pasukan Melaka United FC yang beraksi di Liga Super. Sony bakal memakai jersi bernombor 11 dan bakal beraksi di posisi sayap dan serangan dan kedudukannya bergantung kepada taktikal yang akan dirangka oleh pengendali Terengganu FC.
Antara sebab utama perpindahan Sony, baginya beliau melihatkan pasukan Terengganu FC adalah salah sebuah pasukan terbaik di Liga Malaysia dan beliau merasakan pemain-pemain terutamanya pemain tempatan di dalam skuad ini mempunyai kualiti yang sangat baik. Bonus baginya adalah apabila pasukan ini akan beraksi di Piala AFC bagi musim hadapan.Sony juga menyatakan beliau amat kagum dengan penyokong-penyokong Terengganu FC dan cara mereka menghargai setiap pemain yang beraksi bersama pasukan ini. Kehadiran pengendali baru di Liga Malaysia, Tomislav juga membuatkan beliau merasa tidak sabar untuk memulakan cabaran baru bagi saingan musim hadapan.
Dengan menyarung jersi hitam putih pada musim hadapan, pihak pengurusan Terengganu FC ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain kebangsaan Haiti, Sony Norde dan selamat menjalankan tanggungjawab sebagai pemain Terengganu FC 2023.