ULASAN PERLAWANAN KL CITY FC vs TERENGGANU FC
Terengganu FC turun dengan sedikit berbeza dalam kesebelasan utama mereka, dengan meletakkan Lee Tuck berbanding Dechi Marcel untuk mengendalikan jentera tengah seperti perlawanan sebelumnya. KL City FC yang dilihat sangat kebal mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sedikit memberi tekanan kepada TFC untuk memenangi perlawanan malam ini.
Kuala Lumpur City FC terus cemerlang dengan menjaringkan gol seawal minit ke-29 menerusi kapten mereka, Paulo Josue. Terengganu FC menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan, namun penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza beraksi sangat cemerlang.
Memasuki babak kedua permainan, beberapa sepakan tepat ke arah pintu gol KL City FC dari beberapa gerakan menarik Terengganu FC, namun penjaga gol terus menjadi penghalang utama TFC pada malam ini.
Beberapa pertukaran lewat dilakukan oleh Nafuzi Zain, namun TFC dilihat terus buntu dan menyukarkan mereka untuk mendapat slot ke AFC tahun depan melalui kedudukan kedua Liga Super apabila permainan berkesudahan TFC tewas kepada KL City FC 1-0.