ULASAN PERLAWANAN TERENGGANU FC vs SRI PAHANG FC

Turun dengan kesebelasan yang lengkap, tuan rumah Terengganu FC penuh bersemangat menanti kedatangan Sri Pahang FC bagi pertemuan Derby Pantai Timur ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. TFC berpakaian serba putih, manakala Sri Pahang FC dengan biru kuning mereka.

Tepat 9.00 malam, wisel permainan dibunyikan pengadil. Memasuki minit ke-7, TFC membuat percubaan tepat ke gawang Sri Pahang FC hasil rembatan Dechi Marcell. Selang beberapa minit kemudian, TFC yang dilihat selesa mengawal permainan menghukum Sri Pahang FC melalui penyerang sensasi mereka, David Da Silva dengan membuat tolakan mudah ke gawang gol hasil lorongan Faiz Nasir. Namun, Nafuzi Zain terus mengeluarkan penjaring gol tersebut kerana dilihat tidak berapa selesa dengan keadaan kakinya sejak awal minit permainan. David Da Silva digantikan dengan Hakimi Abdullah pada minit ke-13.

TFC terus memebuat gerakan melalui gaya permainan “short pass” mereka, dan pada minit ke-23 gerakan bertemu hasil apabila Faisal Halim mudah menjaringkan gol melalui tandukan setelah “crossing” Faiz Nasir sampai tepat kepadanya. Separuh masa pertama berakhir dengan TFC mendahului dua gol tanpa balas.

Memasuki babak kedua permainan, kedua-dua pasukan dilihat lebih berhati-hati. Dan bola dilihat lebih banyak berada di kawasan tengah padang. Memasuki minit ke-60, gerakan solo Habib Haroon hampir menembusi gawang Sri Pahang FC sekali lagi, namun sepakannya dihalang tiang gol pasukan pelawat. Selang tiga minit kemudian, Nafuzi Zain membuat pertukaran kedua dengan mengeluarkan ketua pasukan, Carli De Murga dan digantikan Mohd Faudzi.

Sri Pahang FC pula dilihat tidak putus asa apabila beberapa gerakan yang dilakukan seakan membuka peluang untuk menjaringkan gol sehingga memaksa TFC membuat terjahan ke atas pemain mereka, Sri Pahang FC mendapat sepakan percuma di posisi yang sangat terbuka. Namun, peluang disia-siakan apabila sepakan percuma pada minit ke-74 tersebut melewati palang gol.

Nafuzi Zain sekali lagi membuat perubahan taktikal dengan membuat dua pertukaran serentak, iaitu mengeluarkan dua pemain sayap mereka Faiz Nasir dan Faisal Halim dan memberi peluang kepada Nik Akif dan Rahmat Makasuf. Permainan tampak sedikit perlahan berlarutan hingga ke minit akhir perlawanan. Tiga minit masa tambahan diberikan pengadil namun kedua-dua pasukan tidak berpeluang melakukan jaringan. Derby Pantai Timur berkesudahan TFC menang dua jaringan tanpa balas ke atas Sri Pahang FC.