KITA MENGHARAPKAN ADA BERITA POSITIF UNTUK KEJOHANAN INI
Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak berselindung menyatakan beliau sangat mengharapkan Kejohanan Piala AFC ini dapat diteruskan dan pihak penganjur berjaya mendapatkan jalan penyelesaian untuk membolehkan pertandingan ini berjalan. Ini berikutan ada berita yang menyatakan kejohanan itu hampir pasti terbatal kerana masih belum ada negara yang menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah namun dilihatkan Indonesia berkemungkinan pilihan terakhir sebagai venue bagi kejohanan ini.
Ditanya berkenaan persiapan pasukan untuk kejohanan ini, Nafuzi Zain menyatakan mereka telah melakukan persediaan awal sepertimana persediaan bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini. Ini bagi memastikan kesemua pemain berada dalam kecergasan terbaik secara mental dan fizikal dan apa yang penting keserasian diantara pemain itu berada dalam tahap yang sangat baik. Salah satu sebab utama beliau sangat mengharapkan pertandingan ini dapat berlangsung, pertamanya baginya ia bukan satu perkara yang mudah untuk layak beraksi di Kejohanan Piala AFC dan baginya, ini adalah peluang buat para pemain beliau terutama pemain-pemain muda untuk mendapatkan pengalaman beraksi di pentas tinggi di Asia dan pengalaman ini bakal memberikan mereka banyak kelebihan terutama dalam membentuk kematangan dan tahap keyakinan mereka beraksi pada masa-masa akan datang.
Para pemain yang didaftarkan untuk kejohanan ini juga telah lengkap dimana beberapa pemain tempatan dari pasukan Terengganu FC II juga turut disenaraikan dan ini memberikan kita lebih banyak pilihan kelak. Nafuzi Zain menyeru agar para penyokong bersabar menunggu keputusan dari pihak penganjur dan mendoakan agar kejohanan dapat dilangsungkan kerana tidak dinafikan para penyokong sudah lama menunggu untuk pasukan ini kembali beraksi di pentas Asia dan ini adalah merupakan peluang kita membalas kesabaran mereka.
Skuad Terengganu FC dibarisi pemain-pemain muda