KEPUTUSAN KECEDERAAN RAHADIAZLI AMAT BERAT BUAT PASUKAN

Penjaga gol utama Terengganu Fooball Club (TFC), Rahadiazli diberitakan telah mengalami kecederaan pada bahagian lutut semasa menjalani perlawanan latihan dalaman bersama skuad TFC Rabu lepas.

Rahadiazli sebelum ini yang telah beraksi dalam 5 perlawanan awal bersama TFC telah mempamerkan satu aksi yang baik sekaligus telah menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai latihan bersama skuad utama Malaysia. Walaubagaimanapun dalam satu sesi perlawanan latihan dalaman skuad TFC Rabu lepas  telah mengundang tragedi yang tidak diingini pasukan apabila Rahadiazli telah disahkan mengalami kecederaan  anterior cruciate ligament (ACL).

Rahadiazli yang melayangkan badan dalam satu percubaan melakukan satu tempisan keluar bola cubaan rakan sepasukan tidak berjaya melakukan pendaratan dengan baik dan hentakan pada lutut telah menyebabkan beliau kesakitan dan diusung keluar padang. Keadaan ini sememangnya merisaukan pengendali TFC, Nafuzi Zain kerana beliau dan pasukan telah melakukan persediaan bagi perlawanan menentang PJ City FC pada Jumaat ini dan sememangnya Rahadiazli disenarai sebagai penjaga gol pada perlawanan tersebut namun keadaan ini menyebabkan pemain ini terpaksa direhatkan untuk pemeriksaan lanjut. Selepas selesai menjalani pemeriksaan pada hari ini, beliau telah disahkan mengalami kecederaan ACL dan berita ini sangat mengejutkan pasukan dan semestinya ianya bukan sesuatu yang positif untuk diterima.

Bagi perlawanan menentang PJ City FC pada Jumaat ini, penjaga gol simpanan Syed Nasrulhaq atau penjaga gol Terengganu FC II, Suhaimi Husin dijangka calon yang berkemungkinan bakal dinaikkan ke skuad utama untuk menggantikan Rahadiazli buat sementara waktu memandangkan pemain ini sudah mempunyai cukup minit bermain serta pengalaman beraksi di pentas Liga Super dan Liga Premier. Sharmiza Yusof pula tidak disenaraikan kerana masih dalam proses pemulihan dari kecederaan.