News
TERENGGANU FOOTBALL CLUB SDN BHD DAN UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN TANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN KERJASAMA SELAMA TEMPOH 7 TAHUN
Sebentar tadi telah berlangsung Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Terengganu Football Club Sdn Bhd dan
Universiti Sultan Zainal Abidin ( UniSZA ) bertempat di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Majlis ini disaksikan oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Ustaz Haji Wan Sukairi bin Wan Abdullah.
Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekuif TFC Sdn Bhd, Encik Abdul Rasid bin Jusoh bersama-sama Naib Cancelor UniSZA, Ybhg. Prof Dato’ Dr Hassan Basri bin Awang Mat Dahan yang menandatangani memorandum kerjasama selama tempoh 7 tahun.
Antara perkara yang terkandung dalam kerjasama ini adalah antaranya pihak UniSZA bakal membenarkan penggunaan segala infrastruktur serta kemudahan sukan yang terdapat di kampus mereka. Pembangunan bolasepak TFC juga akan dipantau dan disokong menerusi kepakaran saintis sukan, kejuruteraan dan perubatan di UniSZA. Beberapa lagi kepakaran yang turut ditawarkan oleh UniSZA ialah di bahagian pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, nutrisi, fisioterapi dan analisis pencapaian.
Bagi pihak UniSZA pula, TFC akan membuka ruang bagi para pelajar di bidang berkaitan untuk melakukan latihan industri dibawah penyeliaan TFC Sdn Bhd dan hal ini amat dinantikan bagi mereka yang teruja untuk mengalami sendiri cara sesebuah organisasi swasta yang menguruskan hal berkenaan bola sepak itu berfungsi. Antara manfaat lain juga ialah, TFC akan memantau dan membantu UniSZA dalam membangunkan pasukan bolasepak UniSZA yang sinonim dengan aksi dalam saingan Liga Bolasepak Institusi Pengajian Tinggi.
YAB Menteri Besar juga amat berbesar hati dengan persefahaman yang telah dicapai antara TFC dan juga UniSZA ini setelah mengambil contoh daripada beberapa negara maju dimana sektor sukan dan pendidikan saling berkait rapat dan kejayaan di lapangan sukan akan menjadi lebih cemerlang dengan khidmat sokongan daripada sektor pendidikan yang meliputi kajian dan pembangunan.