KEHADIRAN PENYOKONG BOLEH MENCECAH ANGKA LUAR BIASA PADA MALAM INI

Perlawanan pembukaan bagi saingan CIMB Liga Super Malaysia 2020 diantara pasukan Terengganu FC (TFC) menentang Perak FA (PFA) pada malam ini dijangka bakal dihadiri ribuan penyokong dan peminat bola sepak tidak kira dari  Terengganu mahupun  Perak. Fenomena ini dilihat atas kerana penggunaan kembali Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang telah lama menyepi dan suasana yang dulu diingati kini mereka boleh rasakannya kembali. SSMZA yang baru sahaja dinaik taraf permukaan padangnya dilihat sebagai pangkalan yang telah dihidupkan kembali dan diharapkan oleh penyokong dan pasukan untuk ianya menjadi sebuah kubu yang kuat buat pasukan TFC.

Tiket yang dikeluarkan pada malam ini telah dinyatakan adalah sebanyak 30,000 keping tiket dan dijangka hampir 1,000 penyokong lawan akan hadir bagi perlawanan pada malam ini. Salah satu faktor yang menarik berkenaan SSMZA adalah kerana stadium ini dilihat lebih besar dan ‘mesra keluarga’ bagi mereka yang ingin membawa keluarga menonton bola terutama bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Ditanya pendapat salah seorang penyokong TFC, beliau menyatakan jika beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sememangnya menarik kerana kedudukan kita hanya bersebelahan padang namun keadaan di tempat duduk penyokong agak sempit dan beliau tidak dapat membawa anak dan isterinya kerana keadaan di sekitar yang kurang sesuai dan padat terutama apabila melibatkan perlawanan besar. Jika di SSMZA ianya mempunyai tempat duduk berkerusi dan ianya ada jarak yang sesuai antara setiap tempat duduk membuatkan kita rasa lebih selesa.

Perlawanan pada malam ini semestinya perlawanan yang ditunggu-tunggu kerana ianya perlawanan pembukaan dan para penyokong boleh diibaratkan ‘sangat dahagakan aksi bolasepak’ dan ini adalah masanya bagi mereka untuk hadir menonton dan menyokong pasukan kesayangan mereka. Kehadiran penyokong bakal mencapai 30,000 kehadiran? Ianya tidak mustahil.

Leave a Reply