JELAJAH PRA-MUSIM PERTAMA INI ADALAH MEDAN AWAL BAGI MENGUJI KESERASIAN PEMAIN TFC
Pasukan Terengganu Football Club (TFC) akan bertolak ke Kuala Lumpur bagi sesi jelajah pra musim pertama dan akan bertemu 2 pasukan dari luar negara dan 1 pasukan yang beraksi di Liga Premier Malaysia musim hadapan. Bagi aksi pembukaan, pasukan TFC akan bertemu dengan juara liga utama Kemboja (C-League), SVAY RIENG FC yang kini berada di Malaysia dalam sesi jelajah pra-musim mereka ke luar negara. Untuk rekod Svay Riend FC telah menundukkan pasukan Selangor dengan jaringan 0-4 tempoh hari dan ini semestinya memberi amaran awal buat pasukan TFC sebelum menentang juara liga kemboja ini. Pasukan TFC seterusnya akan bertemu pasukan Kuala Lumpur FA yang dilihat turut melakukan persediaan rapi bagi saingan Liga Premier musim hadapan sebelum bertemu pasukan dari Singapura, Hougang United dalam perlawanan terkahir bagi sesi jelajah pra-musim pertama ini.
Semestinya 3 perlawanan ini adalah antara pemula bagi menguji para pemain dibawah kendalian Nafuzi Zain dalam persediaan awal bagi mengharungi Liga Malaysia yang dijangka bakal sengit pada musim hadapan. Ianya adalah 3 pasukan yang berkualiti, dan semestinya ini bakal memberi sesuatu yang positif dalam membentuk keserasian para pemain kita, selain mengesan apa kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap tempat dalam pasukan ini. Kita juga perlu faham, perlawanan persahabatan ini bukanlah tempat untuk kita mengejar kemenangan, tetapi adalah medan untuk kita kaji sepenuhnya secara keseluruhan mengenai pasukan kita dan paling penting ianya adalah untuk mengesan kelemahan yang kita ada. Tidak dinafikan perlawanan persahabatan juga adalah medan untuk memastikan pemain-pemain dapat bermain seperti apa yang dirancang dan jika kita berjaya mendapatkan keputusan kemenangan serta positif ianya mampu untuk menaikkan semangat dan keyakinan para pemain.
Berhubung dengan kemasukan beberapa pemain yang terus diserapkan ke skuad utama dari pasukan belia dan rata-rata baru berumur bawah 19 tahun, Nafuzi dilihat sangat positif dan yakin dengan pemain-pemain ini dan pendekatan seperti ini sangat jarang dipraktikkan di Liga Malaysia kerana kebanyakan pengendali pasukan tidak berani untuk mengambil risiko memainkan pemain-pemain yang masih berusia belasan tahun. Beberapa pemain yang dimasukkan ke skuad utama ini tidak menunggu lama untuk membalas kepercayaan jurulatih mereka dan dapat dilihat mereka semakin serasi beraksi bersama pemain-pemain senior dan ini dilihat sesuatu yang sangat positif bagi skuad masa hadapan TFC.
Perlawanan persahabatan yang bakal belangsung disekitar Lembah Klang ini semestinya bakal dihadiri oleh penyokong TFC yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan ini adalah sesuatu yang baik untuk memberikan semangat buat pasukan ini. Perlawanan-perlawanan ini akan bertempat di Stadium Kuala Lumpur Cheras dan juga Stadium Universiti Malaya (UM Arena).
Skuad Terengganu FC dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang Kelantan United