
FAIZ NASIR GEMBIRA KEMBALI BERSAMA TERENGGANU FC
Setelah mengharungi saingan Liga Malaysia yang penuh positif bersama Terengganu FC (TFC) bagi musim 2018, nama Faiz Nasir menjadi bualan hangat bukan sahaja di kalangan penyokong pasukan Terengganu namun meniti dibibir setiap peminat bola sepak di Malaysia. Faiz Nasir antara tonggak yang berjaya membawa TFC ke pentas akhir Piala Malaysia 2018 dan berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan akhir tersebut. Walaupun tidak berjaya membawa pulang piala ke bumi Terengganu, namun semangat yang ditunjukkan oleh pemain ini layak diberikan pujian.
Faiz Nasir yang ingin membuka cabaran baru untuk memastikan dirinya sentiasa bersedia, mengambil keputusan untuk bersama Selangor bagi musim 2019 dan berjaya mempamerkan aksi yang baik bersama pasukan itu selain turut tersenarai untuk bersama skuad negara dan menjaringkan gol buat pasukan Malaysia. Untuk musim 2020 Faiz melihat ianya sudah cukup untuk beliau berada di luar wilayah pantai timur dan semestinya beliau ingin kembali bergabung dengan bekas rakan sepasukannya di TFC.
Sebentar tadi Faiz Nasir baru sahaja selesai menandatangani kontrak untuk bersama TFC untuk musim 2020 di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT). Faiz dilihat berpuas hati dan gembira apabila berjaya menjejakkan kaki kembali ke bumi Terengganu dan sudah tidak sabar untuk kembali berbakti untuk pasukan ini.
Ketua jurulatih pasukan TFC, Nafuzi Zain menyatakan Faiz semestinya akan memberikan impak positif melalui kehadirannya dalam skuad musim hadapan dan kita semua sedia makluma akan kelebihan tersendiri yang ada padanya dan ianya sangat sesuai dengan corak yang ingin diterapkan dalam skuad musim hadapan.
Faiz Nasir sudah tidak sabar untuk bergandingan kembali bersama bekas rakan sepasukan di TFC
Faiz Nasir dijangka akan menjadi tonggak utama skuad TFC bagi musim 2020
Proses tandatangan turut disaksikan Pengurus Pasukan dan Ketua jurulatih TFC 2020
Proses tandatangan turut disaksikan Timbalan Presiden PBSNT dan Penolong Pengurus TFC 2020