MELAKA UNITED YANG AKAN KITA TEMUI PADA MALAM ESOK ADALAH SEBUAH PASUKAN YANG BERBEZA

Pasukan Terengganu FC akan berkunjung ke Melaka bagi menghadapi perlawanan Liga Super 2019 menentang pasukan tuan rumah, Melaka United di Stadium Hang Jebat pada malam esok (15 Jun 2019).

Pengendali pasukan Terengganu FC, Nafuzi Zain dalam kenyataan bersama media menyatakan beliau dan pasukannya sedar bahawa skuad Melaka United yang akan mereka temui pada malam esok adalah sebuah pasukan yang berbeza dengan pasukan yang ditemui sebelum ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu dimana Terengganu FC berjaya menumpaskan mereka dengan jaringan 3-0. Ini kerana pengurusan Melaka United dilihat telah membuat rombakan pemain dan memasukkan beberapa muka baru termasuk pemain import.

Sungguhpun begitu, Nafuzi tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya dalam misi untuk melakukan kejutan kepada pasukan tuan rumah ini dengan sekurang-kurangnya berjaya mencuri satu mata ditempat lawan pada malam esok. Skuad Terengganu FC kini dilihat berada dalam momentum terbaik untuk meneruskan keputusan positif dan seperti yang diperlihatkan pada perlawanan sebelum ini, skuad Terengganu FC berjaya mempamerkan corak permainan yang tersusun dan berjaya memenangi penguasaan bola dalam setiap perlawanan selain berjaya memungut mata. Taktikal dan corak permainan bola sepak moden yang diterapkan oleh Nafuzi dilihat berjaya sedikit demi sedikit diterjemah oleh pemain-pemain bagi setiap perlawanan. Ini dilihat sebagai gerakan positif untuk memastikan pasukan Terengganu FC kekal konsisten untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super 2019.

Ditanya berkenaan pemain import dari pasukan Terengganu FC II yang dibawa masuk ke skuad utama, iaitu Dechi Marcel, Nafuzi juga memberikan kredit kepada ketua jurulatih Terengganu FC II, Tengku Hazman dan barisan pegawai pasukan Terengganu FC II yang dengan segera sedia melepaskan beberapa pemain skuad itu untuk dinaikkan ke pasukan utama dan ini menunjukkan kesinambungan fungsi ‘feeder club’ dalam pasukan Terengganu ini. Ianya adalah langkah yang sangat profesional dari Terengganu FC II dan ini bakal memperkuatkan lagi skuad utama Terengganu.

Ditanya berkenaan persediaan bagi setiap pemain, Nafuzi menyatakan pemain-pemainnya telah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang dianggap besar ini dan beliau mengharapkan kesemua pemain yang diturunkan dapat memberikan komitmen penuh kerana semestinya kita tidak ingin terus tercicir mata dalam baki perlawanan yang ada.

 

Leave a Reply