
STATUS INTERNATIONAL TRANSFER CERTIFICATE (ITC) LUIS GUSTAVO FRANCISO CAMILO
Hasrat untuk menggunakan khidmat Luis Gustavo daripada Brazil secara pinjaman diposisi pertahanan kemungkinan berubah disebabkan International Transfer Certificate (ITC) pemain tersebut belum diterima. Kemungkinan besar menempuhi dua (2) perlawanan awal ini tanpa beliau sehingga jawapan FIFA diterima. Namun langkah susulan telah diambil untuk memastikan agar TFC sentiasa ditahap terbaik. FIFA merupakan badan tertinggi di dalam pentadbiran bolasepak dunia yang berperanan menyemak dan menyiasat satu-satu perpindahan pemain berpandukan prosedurnya sebelum ITC dibenarkan bagi seseorang pemain antara negara.
Segala dokumen telah disempurnakan di dalam prosedur FIFA Transfer Matching System (TMS) perpindahan pemain antara Negara. Sebaik ITC diterima, beliau akan diterbangkan terus ke Malaysia untuk menyertai pasukan. Kini beliau masih bersama kelabnya menjalani latihan serta menguruskan penyediaan datang ke Malaysia.
Perlawanan pertama yang melibatkan pasukan TFC selepas Aidilfitri adalah bertemu Melaka United pada 15 Jun 2019 seterusnya Perak FA pada 18 Jun 2019 dan kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung di gelanggang lawan. Dalam situasi tersebut, persiapan pasukan untuk menghadapi saingan terdekat perlu diperkemaskan dengan sebaik mungkin. Pihak pengurusan dan kejurulatihan TFC telah bersetuju mengambil langkah drastik dengan bakal memanfaatkan sepenuhnya sistem “Feeder Club” yang mana TFC boleh mengunakan kesemua pemain sama ada tempatan atau asing. Dengan kelebihan yang ada, sememangnya TFC sentiasa mampu menjadikan suatu perubahan di dalam perancangan pasukan menjadi mantap. Hal ini juga telah diselaraskan dan dimuktamadkan diperingkat Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Feeder TFC pada 10 Jun 2019.
Peranan sistem “Feeder Club” dilihat berfungsi baik apabila pada awal musim pemain yang berjaya membarisi pasukan TFC “Parent Club” iaitu Shahrin Sapien, Muhamad Fauzi, Muhamad Haidir Suhaini, Izzan Syahmi Mustafa dan terbaru selepas pasukan dikendalikan oleh Nafuzi Zain, beliau telah memanggil dua orang lagi pemain iaitu Muhamad Hafizal (pertahanan kanan) & Abdul Shukor Jusoh (tengah). Kualiti yang ada ada pemain TFC II boleh bersaing di peringkat yang lebih tinggi dan sedikit sebanyak mampu membantu pasukan TFC. Sasaran TFC II adalah melahirkan seberapa ramai pemain untuk membantu pasukan TFC “Parent Club” serta berada di dalam Liga Premier 2020 dan ianya tampak berjaya dengan kedudukan, prestasi dan baki perlawanan.
TFC bakal menghadapi baki 7 perlawanan dalam saingan Liga Super seterusnya bakal beraksi dalam kempen Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi. Kesemua aspek yang mampu memberikan impak baik kepada TFC perlu dimainkan semaksimumnya untuk mencapai sasaran. Selain itu, pemain ke-12 amat diperlukan untuk memantapkan pasukan dari segenap segi bagi mengharungi baki saingan.
Sememangnya kehilangan ketua jurulatih Haji Irfan Bakti secara mengejut sebelum ini memberi sedikit kesan dalam perubahan rombakan pasukan. Ianya merupakan satu cabaran dalam memburu kejuaraan. Diharap pasukan sentiasa memberi persembahan terbaik.
SETIAUSAHA AGUNG
PERSATUAN BOLA SEPAK NEGERI TERENGGANU (PBSNT)
11 Jun 2019