
JOTUN PENAJA CAT RASMI TERENGGANU FOOTBALL CLUB 2019
Terengganu Football Club (TFC) kini mempunyai syarikat penaja cat rasmi iaitu syarikat Jotun yang telah bersetuju untuk menaja dan membekalkan cat khusus untuk membantu TFC dalam mengaplikasikan warna identiti pasukan ini di gelanggang perlawanan rasmi pasukan ini iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu (SSINS) dengan warna hitam dan putih.
Melalui mesyuarat yang telah diadakan pada 9 Februari diantara pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Jotun dan juga dihadiri beberapa wakil kelab penyokong pasukan Terengganu, pihak Jotun telah bersetuju untuk menjadi rakan penaja buat pasukan TFC bagi musim 2019 dalam usaha membantu pasukan ini untuk menjadikan SSINS berwajah baru dengan tema warna yang melambangkan pasukan ini.
Wakil syarikat Jotun, Puan Nurjiddah Fauzi yang juga adalah Pengurus Jotun Terengganu seterusnya telah melanjutkan perbincangan dengan pihak pengurusan PBSNT dalam perjumpaan seterusnya dan telah bersetuju untuk menjadi rakan penaja bagi pasukan ini bagi musim 2019 dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Pihak TFC dan juga Majlis Bandaraya Negeri Terengganu (MBKT) ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Jotun yang sudi untuk menjadi salah sebuah syarikat yang menyumbang buat pasukan ini dan diharapkan ini adalah permulaan kerjasama untuk perhubungan ini pergi lebih kehadapan dan lebih meluas. Dengan kerjasama ini juga telah membantu merealisasikan harapan penyokong untuk melihat stadium yang mereka sayangi ini menggunakan warna kebanggaan mereka iaitu warna hitam dan putih dan ini sekaligus dapat menaikkan lagi aura pasukan Terengganu setiap kali perlawanan dilangsungkan.