
KEMPEN ROMBONGAN PENYOKONG HITAM PUTIH KE SHAH ALAM
Semasa perlawanan menentang Kuala Lumpur FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, penyokong Terengganu Football Club telah berjaya membuat sesuatu yang jarang berlaku apabila hampir 3000 orang penyokong TFC hadir ketika itu untuk memberikan sokongan kepada skuad hitam dan putih. Kehadiran pemain ke-12 ini nyata memberikan suntikan semangat buat TFC yang berjaya mengumpul 3 mata penuh bagi perlawanan tersebut.
Perlawanan menentang Selangor FA pada Jumaat ini yang bakal berlangsung di Stadium Shah Alam dilihat sebagai satu lagi perlawanan yang boleh dijadikan rekod luar biasa kehadiran penyokong TFC ke gelanggang lawan. Dengan ketika ini dilihat kelab-kelab penyokong Terengganu telah mula menempah bas untuk ke Shah Alam dalam misi memberikan sokongan kepada pasukan. Kebiasaannya rombongan penyokong dapat kita lihat hanya apabila pasukan berada di pentas perlawanan akhir sahaja dimana kita dapat merasai kemeriahan perlawanan bermula dari perjalanan, sepanjang lebuh raya dengan kibaran bendera kebanggaan kita, orang ramai yang memakai jersi rasmi pasukan kita, dan pelbagai gaya sokongan yang semestinya menaikkan semangat siapa yang melihatnya.
Perlawanan pada kali ini yang bakal dilangsungkan pada hari Jumaat juga dilihat kelebihan buat penyokong-penyokong yang ingin mengatur perjalanan. Mampukah penyokong TFC kali ini menjadikan Stadium Shah Alam seperti di SSINS dan membuatkan pemain-pemain TFC merasakan seperti beraksi di tempat sendiri? Kerana kita tahu, kehadiran penyokong adalah pembangkit semangat utama buat kesemua pemain. Sama-sama kita atur perjalanan, kita buat rombongan besar-besaran pada kali ini.
“Selangor, mu tunggu kami mari!”