TEMUBUAL PERTAMA BERSAMA SANJAR SHAAKHMEDOV #15

Pemain terbaru Terengganu Football Club (TFC) nyata kagum dengan cara sambutan para peminat dan penyokong serta cara pihak pengurusan TFC mengaturkan segala perjalanannya untuk hadir ke Malaysia seterusnya ke Terengganu. Beliau menyatakan beliau terkejut apabila tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Terengganu dengan disambut oleh ratusan penyokong TFC yang nyata membuatkannya tidak sabar untuk membalas kepercayaan penyokong dengan mempamerkan aksi terbaik beliau.

Sanjar dalam temubual pertamanya menyatakan beliau sudah tidak sabar untuk turun berlatih bersama pasukan, seterusnya beraksi dalam aksi pra-musim bersama TFC kerana beliau yakin dengan kualiti yang ada pada dirinya dan pemain pasukan ini dapat membantu pasukan TFC untuk memburu kejuaraan musim ini.

Sanjar dalam temubual ini memuji penyokong-penyokong Terengganu yang menunjukkan semangat cintakan bola sepak yang tinggi dan ini menambahkan lagi semangat beliau untuk beraksi dengan lebih baik. Ditanya berkenaan kewujudan TFC, Sanjar mengakui beliau sudah pernah mendengar berkenaan pasukan ini sebelum ini terutamanya mengenai negeri Terengganu kerana 3 orang sahabatnya pernah beraksi disini iaitu Sadriddin Abdullaev, Farhod Tadjiev dan juga Lutfulla Turaev dan mereka banyak bercerita berkenaan bola sepak di Malaysia dan semestinya ini adalah peluang untuk beliau turut sama merasai aura bola sepak disini.

Pihak TFC sempat bertanya berkenaan jolokan ‘Mo Salah Uzbekistan’ kepada beliau oleh peminat disana adakah kerana beliau meminati Mohamed Salah?. Namun Sanjar menyatakan bahawa beliau sebenarnya adalah peminat tegar pasukan FC Barcelona dan beliau sangat mengidolakan 2 orang tonggak pasukan ini iaitu Andres Iniesta dan juga Xavi Hernandez.

Xavi & Iniesta adalah merupakan pemain yang sangat digemari Sanjar Shaakhmedov

 

Ditanya berkenaan adakah beliau dapat membawa aura kejuaraan seperti yang beliau lakukan di Uzbekistan bersama Lokomotiv Tashkent ke Malaysia bersama TFC, beliau menyatakan beliau yakin beliau dapat membantu pasukan ini untuk memburu kejuaraan dan juga piala untuk musim ini dan beliau akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan misi pasukan ini tercapai untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim 2019.

Sanjar yang ditemani ejen beliau, Bojan Miladinovic semalam telah menandatangani kontrak lengkap bersama TFC bermula tahun 2019 disaksikan oleh Ketua Jurulatih, Haji Irfan Bakti dan juga Pengurus Pasukan TFC, Encik Ahmad Shahrizal Yahaya di Pejabat Pengurusan Bola Sepak Terengganu (PBSNT).

Sanjar ditemani ejen beliau, bersama jetua jurulatih dan pengurus pasukan TFC

Sanjar Shaakhmedov bakal memakai jersi bernombor 15 bersama TFC

Sanjar Shaakhmedov dijangka akan diturunkan buat pertama kalinya pada perlawanan persahabatan dalam negeri diantara pasukan TFC menentang pasukan MDB Besut di Padang Majlis Daerah Besut pada 8 Januari ini.

Ikuti video temubual bersama Sanjar Shaakhmedov pada link di bawah :VIDEO TEMUBUAL BERSAMA SANJAR

 

Leave a Reply