DISEBALIK SUARA KERAMAT LAGENDA HAJI KHALID SALLEH

Haji Khalid bin Salleh adalah nama yang sememangnya tidak asing lagi bagi peminat tegar bola sepak negeri Terengganu. Beliau yang senang dengan panggilan Khalid Salleh adalah seorang juruhebah bola sepak yang telah berkhidmat sejak tahun 1986 (32 tahun lepas) dan adalah merupakan juruhebah paling lama menabur khidmat dalam arena bola sepak negeri ini. Haji Khalid telah sah mengumumkan persaraannya kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan tugasan terakhir beliau adalah sebagai juruhebah bagi Perlawanan Akhir Challenge Cup 2018, dimana pasukan Terengganu FC II telah muncul juara bagi kejohanan tersebut dan menjadi pasukan pertama yang menjuarai kejohanan ini.

Pada usia 58 tahun, Haji Khalid mengakui beliau masih bersemangat dan sangat sayangkan bola sepak negeri ini namun begitu bagi beliau, telah tiba masanya beliau memberikan peluang untuk orang-orang baru bagi merasai peluang dan menyambung perjuangan beliau dalam menjadi salah seorang penyumbang terbesar dalam arena bola sepak negeri ini. Semestinya penyokong akan mengingati lenggok suara dan cara Haji Khalid mengumumkan nama-nama pemain, melaungkan jaringan gol dan melafazkan setiap ingat dan pesanan buat para penyokong pada setiap perlawanan tidak kira di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu (SSINS) ataupun di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Namun disebalik suara yang sentiasa menghangatkan SSINS ini, semestinya ramai yang tidak mengetahui mengenai latar belakang dan pengalaman beliau sepanjang berkecimpung di dalam arena bola sepak negeri Terengganu ini. Haji Khalid sebenarnya telah memulakan khidmat dalam bola sepak sebagai pemain piala daerah, presiden dan Piala Burnley sejak belasan tahun. Beliau juga adalah antara pemain yang pernah berlatih dibawah Haji Abdul Rahman Ibrahim. Tamat karier sebagai pemain beliau mula menceburkan diri dalam bidang pengacaraan dan menjadi pengacara radio RTM pada tahun 1982. Pada tahun 1986 beliau mula mendapat tawaran sebagai juruhebah bagi perlawanan bola sepak Terengganu dan katanya ketika itu, beliau terus menerimanya kerana ianya adalah kerana minat yang sangat mendalam dalam sukan ini. Pada ketika itu tiada bayaran dikenakan dan beliau tidak meminta sebarang bayaran sebagai pengacara. Katanya lagi, untuk menjadi juruhebah bola sepak, semangat yang kuat harus diutamakan, “Anda tersilap sebut satu perkataan sahaja, boleh jadi satu stadium akan sorak kita, dan ketika itu kita tidak boleh panik dan perlu cepat berfikir”. Haji Khalid menambah, pengorbanan juga harus dilakukan,bukan sahaja masa tetapi melibatkan wang ringgit. “Saya juga dulu membeli sendiri binocular untuk pastikan siapa penjaring gol. Begitu juga laptop saya beli bagi memastikan segalanya berjalan dengan baik”.

               Suara keramat yang tidak asing lagi bagi penyokong Terengganu

Haji Khalid Salleh yang juga yang sangat low profile ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah memberikan beliau peluang untuk berkhidmat dan menyumbang keringat untuk bola sepak negeri Terengganu dan beliau mengharapkan agar ada muncul lebih ramai penyokong atau peminat bola sepak di negeri ini yang sanggup memberikan apa sahaja buat pasukan Terengganu kerana kita adalah merupakan orang yang akan ada ketika jatuh dan kitalah yang akan sama-sama mengangkat kembali pasukan ini untuk terus bangkit dan bersaing dalam mengejar kejuaraan. Minat sahaja tidak akan pernah cukup jika kita takut untuk melakukan pengorbanan seperti yang telah dilakukan Haji Khalid.

Kepada Haji Khalid, Anda adalah antara lagenda dalam arena bola sepak negeri Terengganu, TERIMA KASIH atas segala sumbangan bersama pasukan bola sepak dan rakyat Terengganu selama ini! Jasamu akan selamanya kami kenang!

Leave a Reply