
KITA TIDAK BERJAYA MENDAPATKAN PIALA NAMUN BERJAYA MEMBAWA PULANG PENYATUAN PEMAIN DAN PENYOKONG
Semestinya ianya adalah satu impian bagi setiap pemain dan penyokong untuk merasai kemanisan apabila pasukan mereka berjaya merangkul piala yang penuh prestij di Malaysia iaitu Piala Malaysia. Pasukan Terengganu Football Club (TFC) hampir berjaya mendapatkannya namun nyata tahun ini ianya adalah milik pasukan Perak FA. Setelah tamat sahaja perlawanan akhir ini, ianya adalah merupakan simbolik sebagai penutupan musim Liga Malaysia bagi tahun 2018.
Kekalahan pada perlawanan akhir semestinya satu keputusan yang pahit untuk ditelah bukan sahaja pasukan tetapi juga buat penyokong TFC yang selama ini bersama-sama memberikan sokongan buat pasukan. Kekalahan ini juga sangat menyimpan calar di hati penyokong apabila pasukan ini hanya tinggal beberapa saat untuk menamatkan perlawanan sebagai sang juara namun rezeki kemenangan ini diragut disaat-saat akhir menyebabkan puluhan ribu penyokong TFC terdiam seakan bermimpi dengan apa yang dilihat mereka.
Walaubagaiamanpun, perkara yang menyedihkan semestinya ada unsur positif yang kadang-kadang kita terlepas pandang. Apabila dilihat, penyokong TFC pada kali ini tidak menyalahkan pasukan dan pemain atas kekalahan ini malah mereka bekerjasama memberikan kata-kata semangat kepada pemain-pemain walaupun diri mereka sendiri seakan-akan ditusuk jutaan jarum yang menyakitkan. Pemain-pemain TFC juga tidak habis-habis memberikan ucapan terima kasih kepada seluruh penyokong yang telah memberikan sokongan terbaik buat mereka dan meminta maaf kerana tidak berjaya membawa pulang trofi ke bumi Terengganu. Unsur positif ini sangat jarang kita dapat lihat berada dalam pasukan yang tewas namun Terengganu berjaya membuktikannya.
Semestinya musim 2019 adalah musim yang lebih mencabar dan pemain-pemain sudah tidak sabar untuk memperbaiki kekurangan mereka untuk tampil lebih bersedia, lebih kuat mental dan fizikal dan semestinya lebih dahagakan kejayaan.