TERENGGANU FC PERLU MENERUSKAN MOMENTUM KEMENANGAN INI UNTUK MELANGKAH LEBIH JAUH DALAM SAINGAN PIALA MALAYSIA 2018

Skuad Terengganu FC (TFC) yang sebelum ini bergelut dalam memburu kemenangan di tempat lawan dalam saingan Liga Super Malaysia semalam akhirnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya mendapatkan 3 mata berharga dengan menumpaskan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur FA  (KLFA)  dengan jaringan besar 1-5. Kemenangan ini bertepatan dengan apa yang disampaikan oleh ketua jurulatih TFC, Haji Irfan Bakti yang inginkan anak-anak buahnya melupakan kisah saingan liga dimana prestasi pasukan ini berada dalam keadaan tidak konsisten dan inginkan pasukannya membuka buku baru bagi menghadapi saingan Unifi Piala Malaysia pada kali ini. Irfan juga menekankan rekod buruk dalam kunjungan ke Lembah Klang juga enggan dijadikan alasan buat pasukannya dari memenangi perlawanan menentang KLFA.

Sebelum perlawanan menentang KLFA, Irfan menyatakan beliau telah menerangkan apa yang pemainnya perlu lakukan untuk melangkah lebih jauh dalam saingan ini dan antaranya beliau meminta pemain-pemainnya mengubah cara berfikir  dengan jangan menganggap beraksi di tempat lawan sebagai masalah, sebaliknya memberi fokus 100 peratus di atas padang. Beliau juga menasihati pemain-pemain untuk bermain lebih baik untuk membalas jasa penyokong yang sentiasa mengikuti pasukan ini.

Bagi aksi perlawanan menentang KLFA semalam, pasukan TFC berjaya memulakan saingan Piala Malaysia pada tahun ini dengan langkah kanan dengan menang dengan jaringan yang besar sekaligus memungut 3 mata berharga.

Pesta gol TFC bermula apabila berjaya membuka jaringan menerusi Kipre pada minit ke-24 sebelum Lee Andrew Tuck bijak memanfaatkan kelebihan dimilikinya pada minit ke-44 menerusi sepakan percuma berkelas dunia dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol KLFA. Sembilan minit babak kedua bersambung, Kipre terus meletakkan TFC semakin selesa selepas menyempurnakan hantaran lintang Mohamad Kamal Azizi Zabri. Pada minit ke-64, Igor Zonjic turut melakar nama selaku penjaring apabila menanduk masuk sepakan penjuru daripada Lee Tuck.Kelibat Kipre nyata memberi igauan buat pertahanan Kuala Lumpur apabila pada minit ke-72 dia bijak melepasi perangkap offsaid dan meledak gol kelima skuad TFC. Pada minit ke-85, Kuala Lumpur memperoleh gol sagu hati menerusi Zaquan Adha Abd Radzak.

Kemenangan ini tidak boleh menjadikan pasukan ini selesa sebaliknya pasukan perlu berusaha dengan lebih keras kerana pasukan-pasukan lain akan berusaha untuk mencari jalan menumpaskan pasukan TFC.

Pasukan TFC dijangka akan membuat persiapan yang lebih rapi bagi menghadapi naib juara Liga Super 2018, Perak FA pada Sabtu ini.

Leave a Reply