KETUA JURULATIH TERENGGANU FC II, MUSTAFFA KAMAL DIREHATKAN
Bermula 31 Julai 2018, Terengganu FC II akan mula dikendali oleh penolong jurulatih pasukan ini iaitu Tengku Hazman Raja Hassan yang akan menggalas tugas sebagai pengendali utama pasukan bagi menghadapi saingan Piala Cabaran 2018 tidak lama lagi. Tengku Hazman diberikan tugasan untuk mengendalikan pasukan ini setelah Ketua Jurulatih Terengganu FC II sebelum ini,Mustaffa Kamal Abd Wahab direhatkan oleh pihak pengurusan atas dasar prestasi pasukan yang kurang memberansangkan sepanjang saingan Liga Premier berlangsung.
Mustaffa Kamal sebelum ini telah menyebut kepada pihak media semasa ditemuramah selepas perlawanan terakhir Liga Premier, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Pengurus Terengganu FC II dan juga pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memberikan kata putus adakah beliau akan terus diberikan tanggungjawab atau direhatkan. Kata beliau lagi, beliau menerima apa jua keputusan dan akan bertindak secara profesional dengan mengikut keputusan yang dikehendaki oleh majikannya.
Terengganu FC II sebelum ini menamatkan saingan Liga Premier di tangga tercorot liga dengan mengumpul 17 mata, dengan 4 kemenangan, 5 keputusan seri dan 11 kekalahan. Kedudukan ini telah menyebabkan pasukan ini disingkirkan dari saingan Liga Premier musim hadapan dan akan beraksi di saingan Liga FAM pada tahun 2019.
Pengendali baru Terengganu FC II, Tengku Hazman dijangka tiada masaalah untuk menggalas tugas bagi membuat persediaan awal buat pasukan ini bagi saingan Piala Cabaran tidak lama lagi kerana beliau telah bersama pasukan ini sejak awal musim 2018 dan mengenali setiap pemain-pemain yang ada. Diucapkan selamat maju jaya buat Tengku Hazman dan ribuan terima kasih kepada bekas pengendali Terengganu FC II, Mustaffa Kamal atas segala jasa dan keringat beliau mengendalikan pasukan ini.
Tengku Hazman Raja Hassan akan menggalas tugas sebagai pengendali baru Terengganu FC II
Terengganu FC II akan mengharungi saingan Piala Cabaran 2018