RANGKUMAN PENUH PERLAWANAN KEDAH FA MELAWAN TERENGGANU FC

Pasukan Terengganu FC akhirnya berjaya membawa pulang 1 mata berharga dari gelanggang Darul Aman dan keputusan pada malam ini menyaksikan ‘badi’ tanpa kemenangan pasukan Terengganu apabila bertemu pasukan Kedah tetap berlaku. Walaupun Kedah FA beraksi tanpa 3 tonggak utama, Andik Vermansyah, Liridon dan juga Paulo Rangel, namun kesempatan ini tidak dapat digunakan sebaiknya oleh anak-anak buah Haji Irfan Bakti.

Terengganu FC ketinggalan pada separuh masa pertama perlawanan apabila Badrol Bakhtiar berjaya menjaringkan gol pembukaan selepas berlaku kelam kabut di dalam kota pasukan Terengganu. Walaubagaimanapun, anak-anak didik Irfan Bakti berjaya bangkit membentuk serangan yang lebih baik pada separuh masa kedua dengan kemasukan Do Dong Hyun dan juga Shahrul Aizad. Hasilnya, Kamal Azizi berjaya meledak gol penyamaan setelah melakukan satu tapping hasil bola muntah tandukan dari Kipre Tchetche yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

Terengganu FC berjaya mendapatkan beberapa peluang pada minit akhir perlawanan namun percubaan di bahagian serangan Terengganu berjaya dipatahkan oleh penjaga gol lawan. Barisan pertahanan Terengganu juga cemas pada minit-minit akhir perlawanan setelah pasukan Kedah FA berjaya melancarkan serangan dan gerakan pantas namun ketangkasan Wan Azraei berjaya menyelamatkan gawang Terengganu dari dibolosi.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti menyatakan beliau terpaksa menggantikan beberapa pemain yang dilihat dalam kesebelasan utama yang kurang berkesan dalam membentuk serangan kerana mereka perlu melakukan serangan dengan lebih baik. Beliau juga menyatakan pasukannya perlu menumpukan perlawanan menentang jiran setempat Kelantan FA yang pasti akan turun dengan membariskan pemain-pemain yang muda dan pasukan Terengganu FC tidak boleh mengambil jalan yang mudah dan perlu menang apabila beraksi di tempat sendiri.

Leave a Reply