IZZAN SYAHMI ANTARA 27 PEMAIN YANG DIPANGGIL KE KEM LATIHAN SKUAD MALAYSIA BAWAH 23 TAHUN

Pemain dan juga penyerang pasukan Terengganu FC III, Izzan Syahmi antara pemain yang telah disenaraikan untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bawah 23 tahun dibawah kendalian ketua jurulatih, Ong Kim Swee. Izzan Syahmi antara pemain utama pasukan TFC III pada tahun ini yang banyak membantu pasukan terutama dalam menjana serangan dan menjaringkan gol buat pasukan dalam saingan Piala Presiden 2018.  Kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan ini bertempat di Wisma FAM, Kelana Jaya dan akan dijalankan selama seminggu dari 1 hingga 7 Julai 2018 sebagai persiapan awal menghadapi temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia dari 14 Ogos hingga 1 September 2018.

BERIKUT ADALAH SENARAI 27 ORANG PEMAIN YANG DIPANGGIL MENYERTAI LATIHAN SKUAD NEGARA (U23)

Daripada senarai di atas, 10 pemain merupakan anggota skuad 23 pemain yang membawa Malaysia mencipta sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China pada Januari lalu iaitu penjaga gol Haziq Nadzli, Dominic Tan, Syamer Kutty Abba, Adib Zainudin, Kogileswaran Raj, Syahmi Safari, Jafri Firdaus Chew, Danial Amier Norhisham, Syazwan Zaipol Bahari dan Tommy Mawat Bada.

Bagaimanapun, baki 13 pemain lain tidak dipanggil untuk kem latihan pusat kali ini atas beberapa faktor dengan enam pemain telah disenaraikan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Fiji pada 5 Julai 2018 iaitu penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah), N Thanabalan (Negeri Sembilan), Adam Nor Azlin dan Safawi Rasid (Johor Darul Ta’zim) serta Irfan Zakaria dan Syazwan Andik Ishak (Kuala Lumpur).

Empat lagi pemain – Akhyar Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Hadi Fayyadh Abdul Razak (Johor Darul Ta’zim II) dan Shivan Pillay Asokan (PKNS FC) pula bersama skuad B-19 kebangsaan kendalian Bojan Hodak untuk menghadapi Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya bermula 3 Julai ini.

Sementara tiga lagi pemain yang tidak dipanggil ialah dua tonggak utama Pahang – Matthew Davies dan Nor Azam Abdul Azih, serta bekas penjaga gol Kelantan dan Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang mana penjaga gol itu kini sedang menjalani penggantungan selama 20 bulan oleh AFC selepas gagal ujian doping di China, Januari lalu.

Bagi melengkapkan senarai 27 pemain ke kem latihan pusat kali ini, Kim Swee telah memanggil seramai 17 pemain baharu untuk diuji kemampuan mereka iaitu empat pemain dari Kelantan – Nik Azli Nik Alias, Danial Haqim Draman, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Afiq Saluddin.

Hafiy Haikal Ismail (Johor Darul Ta’zim II), Loqman Hakim Marzuki (Kedah), penjaga gol Khatul Anuar Md Jalil (Kuala Lumpur), Faisal Abdul Halim dan R Dinesh (Pahang), Rodney Celvin Akwensivie (PKNS FC), Syafiq Rizuan (Pulau Pinang), Asraff Hayqal Zainal dan Amirul Haziq Rasmizal (Selangor), Izzan Syahmi Mustapa (Terengganu) dan Evan Wensley Wenceslaus (Sabah).

Turut tersenarai, Wong Tse Yang, 23, penjaga gol yang sebelum ini beraksi bersama kelab Hong Kong, BC Rangers serta ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, 30, yang menjadi calon awal untuk mengisi salah satu daripada slot tiga kuota pemain senior lebih umur 23 tahun ke Sukan Asia 2018 nanti.

Sepanjang seminggu kem latihan pusat itu nanti, skuad B-23 kebangsaan turut dijadual mengadakan satu perlawanan persahabatan iaitu bertemu Felda United kendalian B Sathiananthan di Padang Wisma FAM pada Jumaat, 6 Julai 2018.

 

 

 

Leave a Reply