
‘EAST COAST DERBY’ KEDUA MUSIM INI
Penyokong Terengganu FC sudah pasti merasakan tentang kehangatan perlawanan pada malam ini apabila pasukan Terengganu FC bakal bertemu dengan jiran setempat, Pahang FA dalam aksi perlawanan unifi Liga Super 2018.
Walaupun ada yang berpendapat kehangatan derby pantai timur menentang Pahang tidaklah sepanas atau semeriah apabila Terengganu FC bertemu musuh tradisi Kelantan FA, namun ianya juga adalah salah sebuah perlawanan yang dinantikan oleh penyokong dan pemain kedua-dua pasukan dalam menentukan siapakah raja bola sepak di Pantai Timur.
Boleh dikatakan pemain-pemain di Terengganu FC telahpun merasai kehangatan derby menentang Kelantan di Kota Bharu hari itu, namun ini adalah merupakan pengalaman pertama buat pemain bahagian serangan baru Terengganu FC, Bruno Suzuki. Bruno yang sebelum ini telah beraksi dengan cemerlang bersama Terengganu FC dijangka akan diberikan tumpuan oleh pertahanan lawan pada malam ini. Ianya juga pengalaman pertama buat Akanni Sunday, walaupun beraksi hanya sebagai pemain pinjaman sementara, perlawanan jiran setempat pantai timur ini juga bakal menjadi pengalaman buat dirinya.
Tumpuan juga harus diberikan kepada penyerang Pahang FA, Patrick Cruz yang telah mencetakkan gol dalam setiap perlawanan bersama Pahang FA. Ini ditambah pula Patrick mempunyai rekod yang baik apabila beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bersama T-Team FC pada musim 2016 dengan rekod jaringan besar disini.
Perlawanan pada malam ini dijangka akan dihadiri ribuan penyokong kedua-dua pasukan kerana tarikh pada hari ini bersamaan dengan hari cuti Hari Buruh Malaysia. Diharapkan perlawanan menarik dapat dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dan kemenangan buat pasukan Terengganu FC dapat kita saksikan pada malam ini.