
MEREKA AKAN KEMBALI TIDAK LAMA LAGI
Ada yang berpendapat dengan kehilangan hampir separuh pemain utama dalam skuad Terengganu FC dalam 3 perlawanan terakhir pasukan ini dilihat banyak membantutkan percaturan ketua jurulatih, Haji Irfan Bakti dalam membentuk pasukan yang konsisten. Walaubagaimanapun, Haji Irfan berjaya mendapatkan percaturan terbaik bagi mengelakkan pasukan ini dari menerima kekalahan dengan mendapatkan keputusan perlawanan yang lebih baik dengan pemain-pemain yang lain.
Dengan kemasukan pemain import dari Terengganu FC II, Bruno Suzuki juga banyak membantu pasukan dalam membentuk corak serangan yang lebih efektif. Untuk rekod, sejak kemasukannya, Bruno telah berjaya menyumbangkan 3 assist buat pasukan Terengganu FC setakat ini dan menjadi watak penting dalam kemenangan pasukan Terengganu FC di Melaka.
Kehilangan tonggak utama, Kipre Tchetche dilihat sangat dirasai terutamanya di bahagian serangan skuad Terengganu FC. Kipre yang mempunyai rekod jaringan gol yang menakjubkan masih berada dalam landasan terbaik dalam memburu kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Super setakat ini apabila masih kekal sebagai pendahulu penjaring dengan 8 gol. Kipre yang tercedera semasa perlawanan menentang Melaka dijangkakan akan kembali cergas untuk bersama pasukan selepas perlawanan menentang Pahang FA.
2 Pemain sayap lincah Terengganu FC, Shahrul Aizad dan Abdul Malik juga sudah terlepas beberapa perlawanan akibat kecederaan. Kedua-dua pemain berkemungkinan perlu menjalani rawatan lebih lama berbanding Kipre kerana kecederaan yang dialami mereka akan mengambil masa untuk pulih. 2 lagi pemain utama Terengganu FC, Faiz Nasir dan juga Nasrullah Hanif juga dikatakan akan kembali bersama pasukan tidak lama lagi dan telah pun mula menjalani latihan bersama Terengganu FC semalam.