3 PEMAIN TERENGGANU FC III JALANI LATIHAN PUSAT BERSAMA SKUAD B21 KEBANGSAAN
3 pemain utama Terengganu FC III (Piala Presiden) iaitu, Mohammad Aqil Irfanudin bin Mohd Sabri, Mohd Zulkhairi bin Mohd dan Muhammad Izzan Syahmi bin Mustapa telah dipilih oleh penilai skuad negara untuk menjalani latihan bersama skuad B-21 Kebangsaan yang bermula pada 18 Mac dan berakhir pada 28 Mac 2018.
Aqil Irfanuddin yang merupakan pemain pertahanan Terengganu FC III sebelum ini pernah beraksi bersama skuad B-21 negara manakala ini merupakan pengalaman pertama buat dua lagi pemain iaitu Zulkhairi yang beraksi di bahagian tengah dan juga Izzan Syahmi yang beraksi sebagai penyerang untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.
Apa yang lebih menarik, ini adalah tahun pertama pemain penyerang Terengganu FC III, Izzan Syahmi beraksi dalam kejohanan kompetitif di Malaysia apabila menyertai skuad Terengganu FC III. Beliau sebelum ini beraksi di kejohanan liga semi-pro di Terengganu yang dikenali sebagai Terengganu Amateur League (TAL) apabila beraksi bersama skuad Real Chukai FC dan berjaya membawa pasukan itu menjadi juara untuk musim 2017. Beliau adalah merupakan pemain terbaik bagi kejohanan tersebut dan kematangan beliau ini telah memikat pengurusan Terengganu FC III yang mengikuti perkembangan liga amatur tersebut dan memutuskan untuk menandatangani beliau untuk menyertai pasukan ini. Pemain ini dilihat semakin menyinar apabila pemerhati skuad kebangsaan pula yang berminat untuk menyenaraikan beliau untuk menjalani pemilihan dan latihan bersama skuad B21 negara.
Diharapkan peluang ini digunakan sebaiknya oleh ketiga-tiga orang pemain muda Terengganu ini bukan sahaja untuk membantu skuad negara namun untuk membantu meningkatkan lagi kematangan mereka dalam sukan bola sepak ini.