
KAMAL AZIZI SEMAKIN MATANG DAN KINI MULA MENJADI SEBUTAN PENYOKONG
Pemain pertahanan muda Terengganu FC, Kamal Azizi meneruskan aksi cemerlang beliau semalam walaupun terpaksa mengambil tugas berat untuk mengawal dua pemain di bahagian kiri Johor Darul Ta’zim, Corbin Ong dan pemain lincah mereka Gonzalo Cabrera. Kamal Azizi atau lebih dikenali sebagai ‘Ayoh’ sebelum ini beraksi dengan cemerlang bersama TFC untuk perlawanan-perlawanan Liga Super sebelum ini. Pemain yang terkenal dengan aksi keras dan tidak pernah berhenti berlari selama 90 minit ini dilihat sudah mula menjadi sebutan penyokong-penyokong di Terengganu.
Pasukan TFC sebelum ini bimbang setelah Ayoh dikeluarkan awal pada perlawanan menentang PJ Rangers akibat kecederaan dalam saingan Piala FA yang lepas, namun beliau tidak mengambil masa yang lama untuk kembali pulih dan cergas sepenuhnya bagi perlawanan semalam. Ayoh membalas kepercayaan ketua jurulatihnya, Haji Irfan Bakti untuk menggalas tugas mengawal bahagian pertahanan kanan TFC terutamanya mengawal Cabrera yang banyak membuat gerakan-gerakan merbahaya dalam merangka serangan JDT dalam perlawanan mereka sebelum ini.
Dalam perlawanan semalam Ayoh berjaya mengekang hampir kesemua gerakan yang cuba dilakukan Cabrera disebelah kiri serangan JDT dan mematahkan segala gerakan pantas dari pemain pertahanan Corbin Ong memaksa JDT untuk banyak melakukan gerakan dari sebelah tengah dan kanan.
Ayoh juga banyak membantu dalam merencana serangan bergandingan bersama Malik dan juga Chanta Thiery Bin. Diharapkan Ayoh akan terus berusaha keras untuk menjadi yang lebih baik untuk membantu pasukan TFC untuk menjadi yang lebih baik selepas ini.
Kamal Azizi mengawal kemas dua pemain JDT pada perlawanan semalam
Kamal Azizi dikasari pada minit awal perlawanan