PERTEMBUNGAN DUA PASUKAN DI KEDUDUKAN TERATAS LIGA SUPER DIJANGKAL BAKAL MENARIK RIBUAN PENYOKONG PADA SABTU INI
Perlawanan Unifi Liga Super 2018 diantara pasukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu ini dijangka akan menarik bukan sahaja begitu ramai penyokong untuk hadir ke stadium malah dijangka akan menarik ramai penonton di rangkaian televisyen dan internet di seluruh Malaysia untuk menyaksikan perlawanan ini. Ini adalah kerana kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan terbaik Liga Super pada ketika ini iaitu JDT yang berada di kedudukan teratas dan TFC dikedudukan kedua liga.
JDT yang telah mempertahankan gelarannya sebagai juara Liga Super sejak beberapa tahun semestinya ingin meneruskan penguasaan ini manakala TFC pula boleh dianggap sebagai pendatang baru namun pasukan ini diperkemaskan pada tahun ini bagi mengejar kejuaraan musim 2018. Untuk rekod pasukan TFC masih mengekalkan rekod tanpa kalah pada musim ini dan telah berjaya menjaringkan 9 gol dalam 4 perlawanan awal saingan Liga Super dan merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol. Pasukan JDT pula telah berjaya menjaringkan 8 gol pada musim ini untuk tempoh perlawanan pada ketika ini.
Perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) Terengganu ini dijangka bakal mempamerkan aksi-aksi terbaik dari kesemua pemain kerana kedua-dua pasukan ingin membuktikan kebolehan masing-masing. Pasukan TFC dijangka bakal menurunkan skuad terbaik bagi perlawanan Sabtu ini bagi menentang skuad harimau selatan itu. Ketua jurulatih TFC, Haji Irfan Bakti dilihat yakin serta positif dengan barisan pemain TFC pada ketika ini. Terengganu FC bakal turun dengan misi memburu kemenangan di tempat sendiri pada hari Sabtu ini dan mengharapkan kelebihan beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri dapat membantu mereka dalam menaikkan moral dan semangat melalui sorakan padu mereka disamping menggerunkan pasukan lawan.
Pihak pengurusan TFC dan juga Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang berusaha bagi mengelakkan wujud masaalah berkaitan tiket perlawanan kerana kapasiti stadium SSINS hanya boleh memuatkan sekitar 10,000 orang penonton. Bilangan ruangan yang sedikit ini dibimbangi akan menarik minat individu yang tidak bertanggungjawan untuk membeli tiket dengan banyak dan menjualnya kembali dengan harga yang lebih mahal. Pengurusan mengambil kira permasaalahan ini dan telah dinyatakan bahawa pembelian maksimum hanya 3 keping tiket sahaja dibenarkan untuk setiap orang. Tiket yang diperuntukkan untuk jualan pada hari perlawanan adalah sebanyak 8000 keping tiket. 2000 keping tiket pula telah dijual awal secara online melalui aplikasi tiket online Stubapp.